Rabu, 3 Ogos 2011

SEJARAH SEKOLAH

Sekolah Kebangsaan Senggang mula didirikan pada tahun 1946 di atas daya usaha ketua kampung pada masa itu iaitu Encik Embin bin Uda Gudang, kerana anak-anak kampung Senggang ketika itu terpaksa menyeberang Sungai Perak untuk ke SK Kuala Kenas. Demi keselamatan anak-anak kampung ini, mereka bersetuju bergotong royong membina sekolah sementara.
Pada 29hb Mac 1947, surat kebenaran pun dikeluarkan oleh Jabatan Pelajaran Perak. Pada 15hb April 1947, bangunan sekolah sementara telah dirasmikan oleh Almarhum Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Abdul Aziz Almutazim billah Shah, Sultan Perak ke 31.
Pada tahun 1954 ketua kampung ‘Pak Embin’ mengadap Datuk Penghulu Besar Mukim Senggang untuk melaporkan bahawa bangunan sekolah sementara yang didirikan sepuluh tahun lalu terlalu uzur, perlu diganti baru. Rayuan telah dipanjangkan kepada Jabatan Pelajaran Perak. Maka pada 1 Januari 1955, bangunan sekolah yang baru telah dibina di atas tanah seluas 2 ekar, 2 rod, 33 pol, Sekolah ini didirikan berhampiran Sungai Perak. Nama sekolah ini diambil sempena nama Kampung Senggang, yang namanya kekal hingga sekarang.
Pada tahun 2002, kerajaan meluluskan peruntukan 1.8 juta untuk membina bangunan 3 tingkat yang serba lengkap bagi menggantikan bangunan lama dan mula digunakan pada Januari 2003. Pertambahan murid yang begitu ketara merupakan sebahagian faktor projek ini dilaksanakan. Ini kerana terdapatnya penempatan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
Sehingga kini SK Senggang memiliki sebuah bangunan 3 tingkat, 2 buah bangunan setingkat, sebuah makmal komputer dan sebuah kantin.  Kelas prasekolah dan kelas pendidikan khas telah dibuka untuk memenuhi keperluan pendidikan setempat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan